Hari Guru Negeri

Hari Guru Negeri

Jumaat, 20 Mei 2011

GBS

Apa Itu GBS?

Kebersihan tandas di sekolah-sekolah wajar diberi penekanan. Kebersihan tandas patut dimasukkan dalam agenda utama program 3K di sekolah. Jika anda ingin melihat sama ada sikap mengutamakan kebersihan berbudaya di sesebuah sekolah lihat tandasnya. Jika tempat yang dianggap paling kotor itu paling bersih luar dan dalam, itu selalunya menggambarkan yang warga sekolah memang prihatin terhadap aspek kebersihan ini.
Pelancaran ini dilakukan sempena Pelancaran Hari Tandas Sedunia yang disambut pada setiap 18 Januari. Tetapi kali ini SK Felda Jerangau Barat  tidak lagi menggunakan perkataan tandas, sebaliknya menggantikannya dengan Bilik GBS. GBS ini tiada kaitan dengan Siri Geng Bas Sekolah saluran Ceria 611 yang menjadi kegemaran kanak-kanak malah turut diminati golongan remaja dan dewasa. Sebaliknya GBS membawa maksud Guna, Bersih, dan Selesa. Nama GBS dirasakan lebih sesuai agar usaha untuk memastikan tandas sekolah sentiasa dapat digunakan ,bersih, dan dalam keadaan selesa tidak dipandang remeh dan dimomokkan, selain dari itu ia sudah sinonim dengan pelajar sekolah.
Jawatankuasa Tandas, iaitu nama yang digunakan sebelum ini kadang-kadang memang diakui boleh mengurangkan motivasi untuk menjaga kebersihan tandas. Tetapi dengan panggilan baru untuk jawatankuasa ini, iaitu Jawatankuasa Bilik GBS secara automatik telah merangsang bukan sahaja AJK yang terlibat malahan setiap warga sekolah untuk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan bilik istirehat ini.  
Guna Bermaksud tandas sentiasa boleh diguna oleh pelajar dan guru ,Bersih bermaksud tiada contengan, tiada goresan, tiada sampah, tiada sawang, tidak berhabuk/berdebu, tidak berbau busuk, sentiasa dinyahkuman, dan mengekalkan warna asal. Selesa pula bermaksud ceria, dihias dengan bunga , dipenuhi mutiara kata, gambar, taman mini (tumbuhan menghijau), dinding hijau berkonsepkan Tandas Dalam Taman.
Selain itu Jawatankuasa GBS juga telah menyediakan rekod  penggunaan tandas supaya pelajar tidak mengambil kesempatan untuk keluar masuk tandas bila-bila masa yang mereka suka. Sebaliknya melalui penggunaan masa tetentu akan melatih pelajar sekolah untuk merancang masa mereka untuk membuang air.
Pihak sekolah sentiasa mengingatkan pelajar bahawa tiada sesuatu pun yang tidak boleh dirancang dan dilatih, ini termasuklah jadual membuang air (sama ada air besar atau kecil). Inilah jam biologi atau jam hayat namanya dan jam jenis ini dikurniakan kepada semua orang, tetapi jarang-jarang yang menggunakannya. Jam ini hanya benar-benar berfungsi dan berguna jika setiap individu itu melalui kebiasaan yang diwujudkan berasaskan latihan dan ulangan. Sebagai contoh jika seseorang itu biasa ke tandas sebaik-baik sahaja bangun pagi, maka itulah yang akan dilakukannya sebelum melakukan kerja-kerja lain pada waktu itu.
Usaha pihak sekolah ini diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran dan sikap warga sekolah tentang pentingnya memelihara kebersihan tandas dalam kehidupan seharian di samping memberi kesedaran kepada mereka agar peka serta melibatkan diri dalam membanteras perbuatan vandalisme di bilik GBS sekolah khasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan